YADIM Research Management Centre (YRMC) terus melangkah melestari gerakan dakwah.
Pusat di bawah Kumpulan Pakar Institusi Kekeluargaan dan Sosio-budaya yang diketuai oleh Prof Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya itu, telah mengadakan bengkel pembangunan Modul Solusi Kesihatan Mental Daripada Perspektif Dakwah (SMILED) bagi Fasa 2: Bengkel Training Of Trainers dan Fasa 3 ke lapangan masyarakat pada 2 Disember di Putrajaya.
Bengkel ini dipimpin oleh Pengerusi YRMC, Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj. Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin dijemput bagi memulakan ucaptama untuk pembukaan Bengkel Modul SMILED ini.
Beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan para pakar yang terlibat dalam membangunkan modul yang akan menjadi rujukan masyarakat untuk menjalani latihan bagi mengasah kemahiran menangani isu kesihatan mental dari perspektif dakwah.
Hadir sama dalam kumpulan ini iaitu Prof. Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali (Pengarah Pusat Dialog dan Peradaban Universiti Malaya), Prof. Dr. Sajaratulnisah Othman (Pakar Perubatan Universiti Malaya), Prof. Madya Dr. A’dawiyah Ismail (Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr. Zurina Abdul Hamid Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Dr. Norli Abdul Jabbar, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Saramah Mohd Isa Pakar Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak, dan Ustazah Suhaizam Sulaiman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Turut hadir Dr Masitah Esa, Ketua Unit Penyelidikan Dakwah (UPD), barisan pegawainya Cik Siti Afiza Iman, Ustazah Cik Husna Saifulzaman dan Encik Aniq Muqri Mohammad.
Objektif bengkel kali ini ialah untuk mengemaskini maklum balas kandungan modul yang berkualiti, mengumpulkan para pakar bidang bagi meneliti dan membangunkan modul serta membuat penyelarasan akhir Modul SMILED sebelum digunakan oleh peserta.
Modul SMILED ini mengandungi empat unit utama iaitu kesihatan mental, psiko-spritual Islam, solusi dakwah dan penilaian.
Bengkel ini merupakan sambungan fasa ke dua setelah selesai fasa pertama iaitu Simposium SMILED di UTM, Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu.
Semoga kerjasama antara pihak YADIM dan para pakar bidang daripada pelbagai agensi ini mampu menatijahkan keberhasilan modul yang komprehensif dan bermutu tinggi dan agar usaha dakwah ini terus berjaya melahirkan masayrakat yang sejahtera dari sudut pembangunan mental dan fizikal.